Maria Mariana II adalah sambungan daripada filem Maria Mariana mengetengahkan konflik yang jarang terdapat dalam plot filem Melayu yang selalunya 'happy ending'.
Yusuf Haslam sebagai pengarah menjalinkan jiwa Mariana secara beransur-ansur dengan kebaikan. Walaupun, asalnya jiwanya sentiasa memberontak, tetapi akhirnya Mariana mendapat satu cahaya kebahagiaan. Namun, kebahagiaan itu tidak berpanjangan apabila Mariana kembali kepada perangai asalnya.
Penonton pernah diresahkan oleh Yusuf Haslam apabila filem Maria Mariana tidak begitu jelas penamatnya. Selepas Maria (lakonan Erra Fazira) ditembak, penonton tertanya-tanya kesudahan Maria. Hidup atau mati?
Namun, penonton sudah boleh meneka Maria masih hidup dengan adanya sambungan daripada filem tersebut. Maria Mariana II mengekalkan sebahagian besar pelakon asalnya.
Mereka terdiri daripada Erra Fazira, Ziana Zain, Ning Baizura dan Awie.
Menurut Yusuf, filem terbaru arahannya kali ini memperlihatkan satu garapan yang lebih kemas berbanding filem-filem sebelumnya.
Kata Yusuf, selain menampilkan tema cerita yang berbeza, Maria Mariana II berjaya menguji komitmen pelakon yang asalnya seorang penyanyi.
''Saya berbangga dengan tahap pencapaian Erra, Ziana, Ning dan Awie dalam filem ini. Watak mereka kontras dengan jiwa sebenar mereka. Seperti Awie, walaupun peranannya dalam filem ini kecil tetapi dia berjaya menunjukkan peningkatan yang ketara dalam lakonannya,'' jelas Yusuf.
''Saya juga memuji lakonan Erra, Ziana dan Ning. Mereka dapat menghayati watak dengan baik, '' ujar Yusuf.
Maria Mariana II mengenai dua beradik yang berbeza cara hidup. Maria seorang kakak yang bertanggungjawab, penyayang dan bekerja sebagai pegawai polis. Adiknya, Mariana suka berpoya-poya dan tidak mempunyai pegangan hidup yang tetap.
Namun segalanya berubah apabila Mariana bertemu seorang pemuda. Dia mula menunjukkan sikap yang berbeza dan perubahan ini menggembirakan hati Maria dan ibunya. Sayangnya, perubahan Mariana tidak berterusan. Dia kembali menjadi Mariana seperti sebelumnya lantaran tidak tahan dengan tekanan sekeliling.
''Saya membawa penonton mendalami jiwa Marina. Dia sebenarnya bukan seorang yang tidak mempunyai pegangan hidup tetapi tekanan luaran banyak mempengaruhi tindakannya. Sesuatu yang paling menyentuh perasaan dalam filem ini apabila Mariana terjerat antara dua persimpangan iaitu antara kebaikan dan keburukan,'' jelas Yusuf.
Filem usahasama Skop Production dan Grand Brilliance Sdn Bhd ini mengambil masa penggambaran selama 48 hari. Kos pembikinan filem ini mencapai RM1.1 juta.
Yusuf memberitahu, sebelum filem ini ditayangkan kepada umum sekitar awal Februari tahun hadapan, novel dan album soundtrack Maria Mariana 11 akan diedarkan terlebih dahulu.